Tuesday, 25 October 2016

Bidang Kerja SUHAKAM


1. Hak Kesihatan Di Dalam Penjara


Pada tahun 2013, Suruhanjaya telah memutuskan untuk memilih isu “Hak kepada Kesihatan di dalam Penjara” sebagai salah satu isu utama dalam usaha bagi memastikan Perlembagaan dan Perundangan di Malaysia dilihat selari dengan isu kesihatan, keselamatan dan maruah insan bagi mewujudkan keadilan yang menjunjung prinsip hak asasi setiap individu.
Hak kepada kesihatan, termasuklah kesihatan mental dan fizikal, merupakan perkara asas dalam hak asasi bagi kehidupan setiap insan. Setiap insan berhak untuk menikmati sepenuhnya cara hidup yang sihat tanpa wujudnya sebarang diskriminasi daripada pihak-pihak tertentu.
Salah satu implikasi yang akan diterima apabila seseorang itu dipenjarakan adalah mereka akan kehilangan hak kepada kebebasan. Walaupun kekangan terhadap kebebasan menyebabkan hak-hak yang lain turut disekat, ini tidak bermakna pihak berkuasa berhak menafikan hak banduan sepenuhnya.
Banduan juga merupakan ‘vulnerable members’ yang unik kerana mereka berada di bawah kawalan pihak lain sepenuhnya sebagaimana contoh, mereka berada di bawah ihsan pihak penjara. Ini kerana, pengurusan berkaitan dengan aktiviti harian dan kebajikan banduan terletak di bawah kawalan Pegawai Penjara, seperti makan, tidur, atau semasa mereka membuat apa-apa perkara berkaitan dengan diri mereka. Selain itu, kemudahan untuk mendapatkan rawatan kesihatan turut berada di bawah kawalan pihak penjara.
Konsep ‘Hak kepada Kesihatan’, haruslah dilaksanakan tanpa mengira status individu berdasarkan undang-undang, supaya penjagaan kesihatan dapat mencapai piawaian secara menyeluruh, termasuklah banduan, yang mana klinik di kebanyakan penjara di Malaysia dilihat tidak mencapai piawaian yang minimum.
Suruhanjaya turut mengenalpasti bahawa salah satu kunci utama yang menentukan prestasi bagi mana-mana institusi adalah kakitangan di dalam institusi tersebut. Bagi kes di penjara, cabaran yang dihadapi oleh kakitangan mereka adalah sangat unik. Ini kerana mereka harus bekerja dalam persekitaran yang mencabar memandangkan tugasan yang diterima menuntut mereka menangani sebarang keganasan yang berlaku semasa bekerja di samping tugas-tugas yang sukar untuk mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman di dalam penjara. Selain itu, kekangan dari aspek pengurusan kerja seperti jadual waktu kerja, tempoh bekerja yang panjang dan bertugas berdasarkan syif turut menjadikan kerja di dalam penjara mencabar.
Walaupun terdapat penyelidikan berkaitan dengan kesan persekitaran kerja ke atas kakitangan penjara, namun tidak banyak tindakan yang diambil untuk menangani isu-isu tersebut. Suruhanjaya berpandangan bahawa perubahan atau penambahbaikan di dalam penjara haruslah mengambil kira beberapa masalah di dalam system pengurusan penjara termasuklah;
  • Rawatan perubatan di dalam penjara
  • Penjagaan kesihatan mental di dalam penjara bagi kakitangan dan banduan
  • Keadaan / Infrastruktur penjara
  • Tempoh waktu bekerja / Jadual bekerja bagi kakitangan penjara
Bagi mengenalpasti isu yang dihadapi oleh kakitangan penjara dan juga banduan, Suruhanjaya sedang menjalankan satu siri lawatan ke penjara di seluruh Malaysia untuk mengumpul data dan maklumat untuk dimasukkan ke dalam satu laporan bertulis yang komprehensif. Laporan ini akan mengandungi maklumat terperinci berkaitan hasil dapatan Suruhanjaya serta syor-syor bagi menambahbaikan lagi piawaian kesihatan di penjara. 

2. Kematian Dalam Tahanan Polis


Statistik yang dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, menunjukkan bahawa terdapat 231 kes kematian dalam tahanan di antara tahun 2000 dan Mei 2013, dengan hanya dua kematian disebabkan oleh pihak polis. Mengikut statistik terkini daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sejak tahun 2000 hingga Ogos 2013, sejumlah 233 orang telah dilaporkan mati dalam tahanan polis. Sebanyak 19 kes kematian telah dilaporkan pada tahun 2013 manakala empat kes dilaporkan sepanjang dua bulan pertama tahun 2014.
SUHAKAM memandang serius terhadap isu kematian dalam tahanan kerana setiap individu mempunyai hak kepada nyawa seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Walaupun tidak terdapat satu formula yang mudah untuk memastikan keselamatan orang yang ditahan, SUHAKAM berpendapat bahawa adalah penting bagi semua pihak yang berkepentingan bekerjasama mencegah kematian dalam tahanan.
Sebagai salah satu usaha untuk mengatasi isu sistemik ini, SUHAKAM telah memulakan satu kajian untuk meneliti keadaan yang membawa kepada atau menyebabkan kematian dalam tahanan. Tujuan kajian ini juga adalah untuk mengenal pasti tren dan faktor yang menyebabkan kematian serta pengajaran untuk mengelakkan kematian di masa hadapan. Laporan ini juga bertujuan untuk menilai keadaan pegawai polis yang bertanggungjawab dalam mentadbir dan memantau orang yang ditahan.
Bagi tujuan kajian ini, SUHAKAM akan melawat 43 buah lokap in seluruh Negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi mengumpul data dan maklumat utama untuk dimasukkan ke dalam satu laporan yang lengkap. Hasil laporan ini akan mengandungi maklumat terperinci berkenaan hasil dapatan Suruhanjaya dan syor-syor tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah kejadian kematian dalam tahanan polis.

3. Hak Orang Asal/Asli


(a)   Hak Tanah Orang Asli/Asal
Sejak penubuhannya pada tahun 1999, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) telah berhadapan dengan pelbagai aduan daripada Orang Asli/Asal di Semenanjung Malaysia dan Anak Negeri di Sabah dan Sarawak, atau secara berkumpulan lebih dikenali sebagai Orang Asal (Indigenous Peoples) Malaysia berkaitan hak asasi mereka, secara spesifik, dakwaan mengenai pencabulan hak-hak tanah adat masyarakat Orang Asal.
SUHAKAM berpendapat bahawa isu tanah yang berterusan dan sistemik yang mempengaruhi Orang Asli/Asal dalam negara ini dapat dikendalikan dengan cara terbaik melalui satu pendekatan yang komprehensif dan mendalam dengan tujuan untuk memahami dengan lebih baik lagi mengenai isu tanah dan cara terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi kepentingan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia komuniti Orang Asli/Asal di negara ini. Sehubungan dengan ini, SUHAKAM telah menjalankan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia pada julung kali untuk meneliti punca utama isu tanah yang dihadapi oleh Orang Asli/Asal dari sudut hak asasi manusia. Inkuiri Nasional yang dijalankan dari Disember 2010 hingga Jun 2012 ini melibatkan beberapa siri pendengaran awam di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Hasil dapatan kajian ini telah dikumpulkan dalam sebuah laporan komprehensif yang bertajuk “Laporan Mengenai Inkuiri Nasional Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia” (Laporan Inkuiri Nasional) yang mengandungi isu dan syor utama untuk pertimbangan dan tindakan susulan pihak Kerajaan. Berikutan pengumuman umum Laporan Inkuiri Nasional pada 5 Ogos 2013, YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk mengkaji secara teliti laporan tersebut.
Suruhanjaya menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Khas oleh Kerajaan untuk mengkaji hasil dapatan dan syor Laporan Inkuiri Nasional. Suruhanjaya berharap Pasukan Petugas Khas ini akan menyiapkan laporannya dalam masa terdekat dan memastikan pelaksanaan awal dan efektif ke ke atas syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan NI Suruhanjaya.
Sebagai pelan susulan, SUHAKAM merancang untuk mengadakan taklimat bersama pelbagai pihak berkepentingan berhubungan laporan Petugas Khas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
(b)   Hak kepada Pendidikan bagi Kanak-kanak Orang Asli
Walaupun pendidikan rendah adalah wajib bagi semua kanak-kanak, namun tidak ada peningkatan yang positif dalam kehadiran di kalangan kanak-kanak Orang Asli khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Oleh yang demikian, SUHAKAM sering kali mengadakan lawatan ke sekolah dan penempatan komuniti Orang Asli untuk menilai status pendidikan yang diterima oleh mereka.
SUHAKAM juga mengadakan mesyuarat dan perbincangan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk masyarakat Orang Asli, pihak berkuasa sekolah serta agensi kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu-isu berhubung akses kepada pendidikan yang dihadapi oleh kanak-kanak Orang Asli.
edu
(c)  Penglibatan di peringkat serantau  
SUHAKAM juga memegang tanggungjawab sebagai ketua Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI) bagi Projek Bersama Forum Institusi Hak Asasi Manusia Nasional Asia Tenggara (SEANF) mengenai Hak Orang Asal dan telah menganjurkan satu Konsultasi Serantau pada 14 Mac 2014 di Kuala Lumpur, yang dianjurkan bersama Pakatan Orang Asal AsiaRangkaian Orang Asal Malaysia dan Rakan Organisasi Komuniti di Sabah. Sesi tersebut dihadiri oleh Pelapor Khas PBB bagi Hak Orang Asal, Prof James Anaya dan juga wakil NHRI dari Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand dan juga wakil dari pertubuhan Orang Asal dan Badan bukan Kerajaan (NGO) di Asia Tenggara.
(d) Lawatan ke penempatan Penan yang terjejas oleh projek pembinaan empangan di Sarawak
Susulan kepada aduan yang dikemukakan oleh kumpulan Penan dan aktivis, SUHAKAM telah mengadakan lawatan tapak ke kawasan penempatan Penan yang terjejas oleh projek Empangan Murum di Sarawak. SUHAKAM juga mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk masyarakat Penan dan pemaju projek berkenaan.
 edu1

4. Hak Orang Kurang Upaya (OKU)


Hak Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan perkara yang telah dibincangkan secara meluas. Mereka merupakan antara kumpulan rentan dalam masyarakat. Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) pada 6 Julai 2010, dengan reservasi ke atas Artikel 15 dan 18. Malaysia belum lagi menandatangani Protokol Pilihan kepada Konvensyen ini. Walaubagaimanapun, ratifikasi CRPD merupakan satu langkah yang membuktikan kesediaan Malaysia untuk melaksanakan hak asasi yang terkandung dalam CRPD menerusi tindakan.
Aduan dan isu-isu berkaitan OKU terus dibawa kepada perhatian Suruhanjaya. Ini termasuk pendaftaran OKU, sistem pendidikan, akses kepada kemudahan, perkhidmatan dan bangunan awam, kemudahan pengangkutan awam, peluang pekerjaan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Suruhanjaya sentiasa menyeru Kerajaan memenuhi obligasinya di bawah CRPD dengan memastikan agar OKU dapat menikmati hak asasi mereka kepada kehidupan, tidak diskriminasi, hak sama rata, akses kepada keadilan serta penyertaan dalam arena politik. OKU berhak untuk menikmati hak sivil, politik, sosial, ekonomi serta kebudayaan mereka secara sama rata dengan orang lain.
Suruhanjaya kini sedang mengkaji isu-isu berkaitan hak kepada pendidikan bagi Kanak-kanak dengan Masalah Pembelajaran (CWLD) menerusi penganjuran aktiviti untuk mengumpul maklumat dan mengenal pasti isu-isu berkenaan CWLD. Ini termasuk lawatan lapang ke sekolah-sekolah yang mempunyai program integrasi dan sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memerhatikan proses pengajaran dan pembelajaran CWLD; forum awam berkaitan hak kepada pelajaran bagi CWLD; dan bengkel latihan untuk guru.
Suruhanjaya juga telah menganjurkan satu siri bengkel mengenai Hak Asasi Manusia bagi Guru Pendidikan Khas yang mengajar SES (Masalah Penglihatan dan Pendengaran) dan SEIP (Masalah Pembelajaran) berdasarkan kawasan di Semenanjung Malaysia. Bengkel tersebut membekalkan mereka dengan maklumat mengenai hak kanak-kanak dan mengenalpasti keperluan pendidikan yang berkaitan.
5. Hak Warga Emas
Oleh kerana hak terhadap warga emas semakin mendapat perhatian penting di peringkat antarabangsa dan serantau, Suruhanjaya merasakan adalah penting untuk mempromosi isu tersebut di Malaysia dan telah mengenal pasti isu ini sebagai salah satu bidang keutamaan pada tahun 2013.
Memandangkan isu berkaitan hak kepada golongan ini sangat luas dan dalam masa yang sama mengambil kira sumber yang terhad, Suruhanjaya memilih perkhidmatan jagaan dan sokongan kepada penjaga sebagai langkah permulaan yang praktikal. Pada masa akan datang, Suruhanjaya berharap untuk meluaskan fokus kepada bidang lain termasuklah isu diskriminasi dalam pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Beberapa aktiviti telah dijalankan sebagai sebahagian daripada penyelidikan, termasuklah konsultasi, lawatan ke institusi jagaan dan seminar. Suruhanjaya sedang melengkapkan satu laporan berkenaan perkhidmatan jagaan warga emas dan sokongan untuk penjaga. Setelah laporan berkenaan disiapkan, Suruhanjaya akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan tentang syor-syor dalam laporan tersebut dan juga meneruskan usaha advokasi terhadap hak warga emas di Malaysia.

6. Hak Asasi Manusia Dan Perniagaan


Secara tradisinya, pelaksanaan hak asasi manusia merupakan tanggungjawab Negara. Namun demikian, pertumbuhan pesat syarikat dan kesan perniagaan terhadap kehidupan masyarakat telah menimbulkan perdebatan global mengenai peranan dan tanggungjawab sektor perniagaan terhadap hak asasi manusia.
Pada Jun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia telah menerima pakai Prinsip-prinsip Panduan Bangsabangsa Bersatu Mengenai Hak Asasi Manusia dan Perniagaan (Prinsip-prinsip Panduan). Prinsipprinsip panduan ini telah dibentuk oleh Profesor John Ruggie, Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Hak Asasi Manusia dan Perniagaan. Prinsip-prinsip panduan tersebut menekankan tanggungjawab Negara untuk melindungi hak asasi manusia; memastikan aktor-aktor lain menghormati hak asasi manusia dan memastikan akses kepada remedi jika berlaku pencabulan hak asasi manusia.
Di Malaysia, kesan aktiviti perniagaan kepada hak asasi manusia menjadi lebih ketara. Banyak pihak melahirkan kebimbangan terhadap sikap sembarangan pihak syarikat ketika menjalankan aktiviti mereka. Tahap pemahaman mereka terhadap hak asasi manusia dan tanggungjawab sosial serta komitmen untuk memenuhi tanggungjawab ini, masih di peringkat awal. Oleh itu, SUHAKAM mengambil langlah untuk melaksanakan lebih banyak program kesedaran untuk sektor perniagaan termasuklah syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).
(i)                 Projek Penyelidikan SUHAKAM-RWI
Pada akhir tahun 2012, Raoul Wallenberg Institute of Human Rights and Humanitarian Law (RWI) telah memberikan geran penyelidikan kepada Suruhanjaya untuk menjalankan penyelidikan mengenai ‘Peranan SUHAKAM dalam Menangani Pencabulan Hak Asasi manusia oleh Sektor Korporat: Kajian terhadap Syarikat Pembalakan dan Perladangan di Malaysia’. Suruhanjaya telah memilih topik berdasarkan isu yang dibangkitkan semasa Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli di Malaysia (NI).
Suruhanjaya juga telah menganjurkan perbincangan berasingan dengan industri ini dan mangsa yang terlibat terutamanya melibatkan masyarakat Orang Asal bertujuan untuk mengumpulkan maklumat. Laporan itu telah dikemukakan kepada RWI pada 19 Disember 2013.
(ii)               Impak Perjanjian Perkongsian Trans-Asia Pasifik (TPPA) terhadap Hak Asasi Manusia di Malaysia
Prinsip ke-9 Prinsip-Prinsip Panduan mengkehendaki Kerajaan, di samping melindungi pelabur, mengekalkan dasar dan keupayaan peraturan untuk melindungi hak asasi manusia dalam perundingan triti pelaburan, perjanjian perdagangan bebas atau kontrak pelaburan. Suruhanjaya telah memantau perundingan mengenai TPPA bagi memastikan Kerajaan meletakkan perlindungan yang sewajarnya sebagaimana yang dihuraikan di bawah Prinsip ke-9 ini. Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya 2012, punca utama kepada ketidakpuasan hati di kalangan kumpulan berkepentingan adalah kurangnya konsultasi awam. Walau bagaimanapun, pada tahun 2013, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil langkah positif bagi mengatasi hal ini. Pada 1 Ogos, MITI telah menganjurkan hari terbuka untuk menerangkan rasional bagi Malaysia menyertai perundingan TPPA dan bagi mendapatkan maklum balas. Suruhanjaya mengulangi seruannya kepada Kerajaan untuk memastikan segala perjanjian perdagangan adalah selari dengan obligasi di bawah triti PBB yang telah ditandatangani oleh Malaysia iaitu CRC, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan CRPD.

7. Isu Pemerdagangan Manusia


Isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran adalah isu-isu yang kompleks yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan aktor di seluruh rantaian pemerdagangan, dengan pelbagai modus operandi.
Memandangkan Malaysia merupakan destinasi popular di kalangan pekerja asing atas sebab ekonomi atau sebagai negara transit, kumpulan pekerja ini terdedah menjadi mangsa pemerdagangan seks dan buruh. Aduan berkaitan isu pemerdagangan orang sentiasa dilaporkan kepada SUHAKAM selama ini. Walaupun Suruhanjaya bukan sebuah agensi penguatkuasa bagi jenayah rentas sempadan,  ia sentiasa bertindak sebagai pengantara bagi pengadu dan agensi penguatkuasa untuk memastikan tindakan segera dan sewajarnya diambil ke atas setiap aduan.
SUHAKAM berpendapat bahawa isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran harus ditangani dengan kadar segera oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Dalam menyokong usaha negara dalam memerangi pemerdagangan orang, SUHAKAM telah mengadakan pelbagai sesi dialog dan perbincangan meja bulat bersama agensi Kerajaan yang berkenaan dan pihak berkepentingan yang lain, dan juga mengemukakan syor-syor kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di Malaysia. SUHAKAM juga mengadakan lawatan berkala ke pusat perlindungan mangsa pemerdagangan orang dan sentiasa mempromosi kesedaran di kalangan semua lapisan masyarakat mengenai kebahayaan pemerdagangan orang serta kepentingan untuk memastikan hak asasi mangsa pemerdaganan orang dijamin mulai saat mereka diselamatkan dan seterusnya, semasa proses pemulihan sehinggalah saat mereka diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
SUHAKAM memandang serius terhadap Laporan Pemerdagangan Orang 2014 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia telah diturunkan kepada Kedudukan Ketiga, Senarai Pemerhatian (Tier 3, Watch List) atas kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minimum bagi penghapusan pemerdagangan manusia di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 (TVPA), walaupun dua pengecualian berturut-turut telah diberikan kepadanya, masing-masing pada tahun 2012 dan 2013.
Antara perkara yang menjadi kebimbangan SUHAKAM adalah penemuan Jabatan Negara AS bahawa usaha Malaysia dalam memerangi pemerdagangan orang dalam tiga aspek utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan adalah tidak mencukupi atau memuaskan, dan juga sebahagian daripada ketiga-tiga aspek itu telah diketengahkan secara konsisten oleh pihak Suruhanjaya sebelum ini.
Memandangkan kesan yang tidak diingini akibat daripada penurunan kedudukan ini oleh Jabatan Negara AS, terutamanya ke atas rekod hak asasi manusia dan pembangunan ekonomi negara, SUHAKAM menyeru Kerajaan untuk mempergiatkan usaha untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, dan juga memastikan perlindungan sepenuhnya dan bantuan diberikan kepada mangsa pemerdagangan dan penyeludupan di semua peringkat, selaras dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Pemerdagangan Orang terutama di kalangan Wanita dan Kanak-kanak.

8. Hak Pendidikan

(i) Latihan Untuk Agensi Penguatkuasaan

Suruhanjaya berpendapat bahawa semua pihak yang berkepentingan, khususnya pihak Kerajaan dan agensi penguatkuasa undang-undang, harus meningkatkan usaha mereka untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Kerajaan selaku Negara Anggota PBB dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu menunaikan komitmennya dengan memastikan agar undang-undang Malaysia adalah sejajar dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa.
Oleh yang demikian, Suruhanjaya sentiasa mengadakan ceramah dan program latihan hak asasi manusia untuk pelbagai agensi penguatkuasa di mana peserta diberi pendedahan tentang sembilan instrumen teras hak asasi manusia dan prinsip-prinsip instrumen berkenaan. Objektif utama adalah untuk menerapkan konsep hak asasi manusia ke dalam tugasan harian pegawai-pegawai tersebut dengan memberi penekanan terhadap peranan mereka dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Sehingga kini, Suruhanjaya telah mengadakan pelbagai program latihan bersama agensi penguatkuasa berikut:
(a)   Pihak Polis
Suruhanjaya telah mengadakan ceramah serta program latihan hak asasi manusia bagi anggota dan pegawai polis sejak tahun 2002, dengan kerjasama Bahagian Latihan Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Program tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai keperluan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta meningkatkan kebolehan mereka untuk menyediakan prosedur-prosedur yang berasaskan hak asasi manusia bagi anggota bawahan dalam menjalankan tanggungjawab, kerja dan tugasan harian mereka.
(b)   Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA)
Sejak tahun 2007, Suruhanjaya telah mengadakan bengkel kesedaran hak asasi manusia bagi anggota RELA dan rekrut baru bagi membolehkan mereka mengenalpasti dan menegakkan hak asasi manusia orang ramai. Program tersebut bertujuan untuk membantu mereka untuk menguji prosedur serta  kelakuan mereka berhubung dengan hak asasi manusia.
(c)    Jabatan Penjara
Suruhanjaya telah mengendalikan program latihan hak asasi manusia bagi pegawai penjara sejak tahun 2005. Program latihan tersebut mendedahkan pegawai penjara kepada standad hak asasi manusia antarabangsa yang berkaitan dengan kerja mereka dan keperluan untuk memahami dan menghormati hak banduan, khususnya kanak-kanak, wanita dan juvana, dengan penekanan diberikan ke atas proses pemulihan banduan.
(d)   Pihak Berkuasa Tempatan
Suruhanjaya sentiasa mengadakan kursus hak asasi manusia bagi pegawai penguatkuasa dari majlis tempatan di beberapa negeri dengan kerjasama dari Pusat Latihan bagi Pihak Berkuasa Tempatan. Matlamat utama adalah untuk memberi kesedaran kepada pegawai penguatkuasa agar mereka lebih sensitif terhadap hak asasi manusia semasa menjalankan tugasan mereka. Antara aspek utama yang ditekankan dalam ceramah yang diberikan termasuk hak asasi manusia pegawai penguatkuasa sendiri, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan wanita. Aduan yang diterima oleh Suruhanjaya dan jalan penyelesaian yang praktikal bagi menangani isu-isu yang diketengahkan turut dikongsi bersama pihak berkuasa tempatan. Ini termasuk isu kekurangan infrastruktur di tempat awam bagi memenuhi keperluan OKU.

(ii) Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia di Sekolah (ATHAM)

 “ Secara meluasnya, pendidikan hak asasi manusia dianggap sebagai sesuatu yang penting bagi hak setiap kanak-kanak kepada pendidikan yang berkualiti, sesuatu yang tidak hanya mengajar kemahiran membaca, menulis dan mengira, tetapi juga memantapkan keupayaan kanak-kanak untuk menikmati hak asasi manusia sepenuhnya di samping menggalakkan budaya yang menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia. “
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan kerjasama United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) and Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR) telah menubuhkan satu pelan tindakan iaitu Pelan Tindakan bagi Program Pendidikan Hak Asasi Manusia Sedunia (Plan of Action: World Programme for Human Rights Education). Pelan ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran, sekolah dan badan-badan lain yang berkaitan dengan pendidikan negara untuk bekerjasama bagi mengintegrasikan pendidikan hak asasi manusia secara efektif dalam sistem persekolahan negara. pelan ini telah ditandatangani oleh Negara-Negara Anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Member States of the United Nations General Assembly) pada 14 Julai 2005. Malaysia, sebagai Negara Anggota bertanggungjawab bagi melaksanakan Pelan Tindakan ini.
Fasa Pertama Pelan Tindakan: World Programme for Human Rights Education memperuntukkan bahawa “Tata pemerintahan yang baik merujuk kepada pelaksanaan kuasa melalui proses politik serta penerapan ketelusan dan akauntibiliti, dan menggalakkan penyertaan masyarakat. Dalam membicarakan isu-isu hak asasi manusia, kita selalu merujuk kepada standad yang ditetapkan dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan diperjelaskan dalam beberapa konvensyen antarabangsa yang menentukan standad minima untuk memelihara martabat manusia.”
Selaras dengan Pelan Tindakan Pendidikan ini dan juga fungsi utama Suruhanjaya untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia, SUHAKAM telah menjalankan beberapa program pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menanam kesedaran dan amalan Hak Asasi Manusia di kalangan guru dan pelajar sekolah.
Pada tahun 2009, Suruhanjaya dan KPM memulakan program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) di lima buah (5) sekolah yang melibatkan warga sekolah yang lebih komprehensif. Matlamat program ini adalah untuk :-
  1. Menggalakkan pelajar dan warga sekolah untuk memberi perhatian dan mengambil langkah-langkah untuk mengamalkan hak asasi manusia dan hak kanak-kanak.
  2. Memupuk sikap hormat-menghormati dan bertanggungjawab berkaitan hak asasi manusia dan hak kanak-kanak serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
  3. Meningkatkan pemahaman dan amalan hak asasi manusia dan hak kanak-kanak untuk kesejahteraan hidup.
  4. Menggalakkan pelajar dan guru untuk memberi perhatian kepada aspek-aspek hak asasi dan hak kanak-kanak dalam merancang dan melaksanakan aktiviti di sekolah.
  5. Berkongsi pengalaman tentang hak asasi manusia dan hak kanak-kanak yang telah diamalkan di sekolah dengan masyarakat setempat.
  6. Mengukuhkan perhubungan dan pergaulan di kalangan pelajar tanpa mengira kaum, agama dan jantina.
Bilangan sekolah yang terlibat dalam program ini meningkat kepada 17 pada tahun 2011 dan sehingga tahun 2016, terdapat 222 sekolah yang mengambil bahagian di Seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.
Dalam usaha untuk memantau pelaksanaan program ini, SUHAKAM menjalankan lawatan berkala ke sekolah-sekolah yang terlibat untuk memerhatikan perkembangan dan, jika perlu, memberi bimbingan dan nasihat kepada sekolah-sekolah berkenaan.

(iii) Institut Pengajian Tinggi (IPT)


Salah satu fungsi utama SUHAKAM, iaitu Suruhanjaya bertanggungjawab untuk mempromosi dan memberikan pendidikan berkenaan hak asasi manusia. Antara kumpulan yang disasarkan adalah para pelajar pusat pengajian tinggi.
Sejak penubuhannya, Suruhanjaya telah menjalankan pelbagai program dan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia dikalangan para pelajar.
Objektif program ini adalah :
  1. Menambah ilmu pengetahuan dan kesedaran para pelajar tentang isu-isu semasa yang melibatkan hak  asasi manusia serta tanggungjawab mereka    sebagai bakal pemimpin.
  2. Memberi pendedahan kepada para pelajar universiti mengenai isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa dan kaitannya dengan Malaysia.
  3. Menyediakan ruang kepada para pelajar untuk membincangkan isu hak asasi manusia dan menyampaikan pandangan mereka secara terbuka dan bebas.



Untuk maklumat lanjut boleh layari website di bawah:

No comments:

Post a Comment